KOMPOSER dan penyanyi rap, Altimet diumumkan sebagai Ketua PKR Cabang Ampang selepas kiraan semula undi dibuat.
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menewaskan selebriti Datuk Hans Isaac dengan kelebihan sembilan undi.
Beliau yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukannya, berkata misi pertama sebaik menggalas tugas berkenaan ialah memperkukuh hubungan bersama anggota cabang sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ini ialah tanggungjawab besar, khususnya untuk pendatang baharu seperti saya.
“Ini bukan tugas perseorangan, sebaliknya kerjasama dengan semua ahli parti, berbekalkan semangat reformasi. Berdasarkan keputusan rasmi pemilihan parti, cabang Ampang dibarisi individu yang berbakat dan berjiwa besar,” katanya.
Pengerusi jawatankuasa pemilihan parti, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, keputusan berkenaan disahkan secara rasmi malam ini.
Altimet sebelum ini menuntut kiraan semula selepas meraih 746 undi, tewas tipis dengan dua undi kepada Hans.
Menurutnya, kiraan semula itu dibuat selepas berbincang dengan Hans, yang setuju bahawa kemenangan itu terlalu tipis.
Kiraan semula undi bahagian Ampang dibuat pada 29 Jun selepas parti mendapati pemenang asal, Daing Muhammad Reduan Bachok disabitkan dengan perbuatan membeli undi ketika berkempen.
Dakwaan bahawa kegiatan membeli undi wujud di bahagian itu timbul kembali dengan ahli PKR, Muhammad Syafiq Zulkifli mendakwa, Hans turut terbabit dalam perkara tersebut.
Hans bagaimanapun menafikan semua tuduhan berkenaan. – Malaysiapost

