MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan tiada kes cacar monyet dilaporkan di negara ini, setakat ini.
Beliau berkata, sehingga semalam lima kes disyaki dilaporkan namun bukan membabitkan jangkitan cacar monyet.
“Satu daripada lima kes itu disahkan HFMD , tiga kes cacar air, satu kes ketayap dan satu kes demam biasa,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy bagaimanapun mengesahkan mendapat maklumat seorang warga Malaysia yang menetap di Singapura disahkan dijangkiti penyakit itu.
“Lelaki 45 tahun berkenaan disahkan menghadapi masalah lesi kulit pada 30 Jun lalu dan positif pada Rabu (6 Julai).
“Lelaki berkenaan bersama keluarga dan kawan-kawannya dilaporkan melancong ke Pulau Pinang pada 17 hingga 20 Jun lalu dan berada di Johor Bahru pada 11 dan 12 Jun serta 2 dan 3 Julai lalu,” katanya.
Sebelum ini, Singapura mengesahkan kes tempatan pertama membabitkan jangkitan cacar monyet.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu, pesakit adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 45 tahun yang menetap di Singapura.
Pesakit dikesan mengalami simptom seperti luka pada kulit bahagian bawah abdomen, keletihan, kelenjar nodus limfa membengkak, demam, dan sakit tekak. – Malaysiapost

