Penyamun libas warga emas dengan parang diburu

0
1

LELAKI warga emas cedera akibat dilibas dengan parang oleh penjenayah yang menyamun kediamannya di Taman Hijau, Karak, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, turut cedera cucu lelaki mangsa yang bengkak di kepala kerana dihentak dengan belakang parang.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kaunter aduan Balai Polis Karak menerima panggilan daripada mangsa berusia 72 tahun yang mendakwa rumahnya dimasuki dua lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama isterinya yang berusia 69 tahun dan seorang cucu lelaki berusia 18 tahun.

“Berdasarkan rakaman percakapan mangsa, suspek dipercayai dua warga tempatan berusia lingkungan 20-an ke 30-an serta memakai topi keledar berpenutup muka dan menaiki motosikal jenis Honda EX5.

“Suspek melarikan barang kemas iaitu rantai dan cincin emas milik isteri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lelaki warga emas itu mengalami kecederaan di bahagian bawah leher sebelah kanan kerana dilibas dengan parang oleh seorang daripada suspek, manakala cucu lelakinya bengkak di kepala kerana dihentak dengan belakang parang.

Katanya, usaha memburu suspek sedang giat dilakukan dan beberapa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian berkenaan juga tular di media sosial.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu tular video memaparkan seorang dua lelaki bersenjatakan parang memasuki sebuah rumah sebelum penghuni rumah berkenaan dilihat cuba melawan namun mengalami kecederaan akibat dilibas dengan parang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here