Abe mati ditembak: Agong, PM zahir rasa sedih

0
1

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan takziah kepada keluarga Shinzo Abe, atas pemergian bekas Perdana Menteri Jepun itu.

Istana Negara dalam kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut zahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang.

Seri Paduka Baginda berdua juga zahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

Kata kenyataan itu, Seri Paduka Baginda menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar negara Jepun dan rakyatnya.

“Mengimbas kembali pertemuan Seri Paduka Baginda dengan Shinzo Abe, Baginda telah berkenan menerima menghadap beliau, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Istana Negara pada 11 Mac 2022 lalu.

“Shinzo Abe pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun,” menurut kenyataan itu.

Istana Negara berkata, sewaktu pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada Abe sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Seri Paduka Baginda dengan beliau, selepas yang pertama ketika Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan rasa duka berkenaan insiden yang menimpa mendiang hari ini.

“Saya berasa amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka tentang insiden mengenai mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang baru saya temui pada awal tahun ini sebagai Utusan Khas Tuan Yang Terutama.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada Kerajaan dan rakyat Jepun di atas pemergian beliau,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ismail Sabri juga berkata mendiang telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

“Saya berharap agar keluarga mendiang dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini,” katanya.

Awal hari ini media melaporkan Abe telah terkena tembakan ketika sedang berucap pada satu majlis di bandar Nara, barat Jepun.

Menurut laporan beberapa agensi berita antarabangsa, Abe, 67 tahun, rebah dalam keadaan berdarah dan dikejarkan ke hospital berdekatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here