Wan Saiful dakwa Annuar Musa jadi saksi perjanjian PM dengan Bersatu

0
1
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan

TAN Sri Annuar Musa adalah saksi kepada perjanjian dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bersatu, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dakwaan itu berhubung kait dengan kenyataan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan yang menafikan ada perjanjian bagi lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Wan Saiful turut menyifatkan Shahril sebagai pengintip Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Mungkin kejujuran Shahril masih dipersoal sebab ada orang pernah tuduh Shahril sebagai ‘spy’ Zahid dalam PMO. Nampaknya ada perkara yang PM belum cukup percaya untuk kongsi dengan Shahril.

“Yang menjadi saksi kepada ‘coalition agreement’ di sebelah Perdana Menteri ialah Anuar Musa.

“….’Coalition agreement’ adalah satu ‘best practice’ yang diukir oleh Ismail. Memang menjadi kebiasaan di negara-negara yang demokrasinya lebih matang untuk mempunyai perjanjian bertulis ‘coalition agreement’ jika mahu bentuk gabungan. Bab ini kita mesti puji. Tahniah Datuk Sri,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ujar Wan Saiful, ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, Umno turut menghantar surat mengandungi nama-nama yang mereka calonkan untuk pelbagai jawatan.

“Kami tak ada pula kata Umno gila kuasa sebab memang itulah ‘best practice’ yang betul,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, bagi membincangkan lantikan jawatan baharu termasuk Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, beberapa perkara penting telah dibangkitkan dalam pertemuan tersebut berlandaskan kandungan perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

Sementara itu, Wan Saiful berkata apabila PN menghantar senarai nama bagi memohon jawatan tertentu dalam kerajaan, ia adalah perkara biasa.

“Jadi macai-macai Zahid janganlah nak berlakon bodoh pula. Bila PN hantar senarai nama, itu memang perkara biasa. Dan bila PN merujuk kepada ‘coalition agreement’, itu juga perkara biasa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata keputusan memenuhi janji adalah elemen penting dalam hidup yang berintegriti.

Demikian itu, katanya, apabila Umno menghantar senarai nama semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Presiden Bersatu itu memenuhi janji dengan melantik mereka ke jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi dan ahli lembaga agensi.

“Saya tahu sebahagian pemimpin Umno memandang mudah isu amanah dan integriti. Maklumlah, Zahid dan Najib Razak dua-dua ada masalah integriti yang boleh masuk sejarah dunia.

“Bila orang yang di atas tidak malu untuk berakhlak buruk, maka hilanglah sifat amanah dan integriti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here