PERMINTAAN lantikan Timbalan Perdana Menteri adalah tidak munasabah ketika rakyat sedang bergelut dengan inflasi yang semakin meningkat, kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin.
Beliau juga mempersoalkan kepentingan melantik Timbalan Perdana Menteri atau jawatan-jawatan lain yang dituntut bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tumpukan usaha kepada penyelesaian dan bantu la Perdana Menteri. Datuk Wan Saiful (Wan Jan) semenjak dilantik jadi Pengerusi PTPTN (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) pun tak dapat nak tunaikan janji Pakatan Harapan (PH) (yang dulu Datuk sebahagian daripadanya),” katanya dalam kenyataan.
Semalam dalam satu temubual bersama portal tempatan, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata perbincangan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Muhyiddin dengan Perdana Menteri baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu.
Ini kerana dakwanya, jawatan itu adalah perjanjian yang dibuat antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail Sabri sebelum beliau dilantik Perdana Menteri.
Muhamad Iqbal berkata, Wan Saiful perlu menyemak kembali kenyataan PN semasa pembentukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri yang menggariskan syarat-syarat sokongan mereka kepada Perdana Menteri.
“Yang disebut hanyalah untuk memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah. “Tidak ada sebarang pengumuman bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah tuntutan ‘Perikatan Nasional’,” katanya. – Malaysiapost

