KERAJAAN dicadangkan membanteras habis-habisan kebanjiran rokok haram dalam negara supaya boleh menambah pendapatan dari cukai rokok sah.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, menyuarakan cadangan itu sebagai mekanisme menambah pendapatan negara agar kelestarian subsidi dan bantuan yang amat diperlukan rakyat.
Cadangan itu sebagai reaksinya kepada kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mempersoalkan cara Putrajaya akan membiayai subsidi untuk keperluan pengguna sebanyak RM77.3 bilion tahun ini.
Menurutnya, negara rugi RM5 bilion ke RM6 bilion setahun kerana rokok haram dan ia satu jumlah besar yang boleh diguna untuk macam-macam perkara oleh kerajaan.
Beliau bagaimanapun mendakwa, kebanjiran rokok haram di pasaran negara adalah berpunca daripada kesilapan kerajaan terdahulu yang menaikkan cukai kepada rokok sah terlalu tinggi.
“Pada 2015 semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, cukai rokok dinaikkan sehingga 36 peratus.
“Akibatnya harga rokok sah meningkat mendadak namun pendapatan kerajaan tidak meningkat kerana perokok beralih kepada rokok haram yang tidak dapat dicukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, apabila mengambil langkah silap kepada rokok sah, Malaysia terus menjadi negara yang mempunyai rokok haram paling tinggi di dunia.
Katanya, jika ingin menyekat rokok haram dan menjaga kesihatan rakyat, kesilapan sedemikian jangan diulang dan jangan buat perkara-perkara yang boleh sebabkan penyeludup jadi mewah bergembira.
Wan Saiful berkata, tindakan kerajaan mengenakan sekatan baharu kepada rokok sah juga akan mengakibatkan kesilapan sama berulang.
“Saya dengar kerajaan ada cita-cita nak kenakan sekatan baru pula kepada rokok sah melalui Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau. Usaha menurunkan bilangan perokok adalah baik dan mesti disokong.
“Tapi mengenakan sekatan tambahan baru kepada rokok sah hanya mengulangi kesilapan dulu. Ia hanya akan membuatkan sindiket penyeludup gembira sebab mereka boleh bawa masuk lebih banyak rokok haram yang murah,” katanya.
Beliau berkata, sebaliknya aktifkan Pasukan Khas Pelbagai Agensi dan memastikan penguatkuasaan dijalankan sepenuhnya, kerana ia akan dapat sekat rokok haram, yang seterusnya akan mengurangkan bilangan keseluruhan rokok dalam negara.
“Perokok pun akan fikir banyak kali sebab rokok haram yang murah dah tak ada. Kita sekaligus jaga kesihatan rakyat, turunkan bilangan perokok, dan dapatkan balik cukai RM5 bilion yang sekarang ini hilang.
“Langkah itu lebih baik dari mengenakan sekatan kepada rokok sah yang hanya membantu sindiket seludup rokok haram jadi lebih kaya raya, dan paling penting kerajaan dapat dana tambahan untuk mengekalkan subsidi dan bantuan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

