AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang menggaji kru warga asing tanpa kebenaran di Pulau Ketam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, tangkapan berkenaan dilakukan di kedudukan 7.3 batu nautika barat daya Pulau Ketam, kira-kira sekitar jam 7.20 petang.
Beliau berkata, penahanan nelayan itu dibuat kerana mencurigakan ketika pasukan operasi sedang melakukan rondaan rutin penguatkuasaan di perairan Selangor
“Hasil pemeriksaan awal, bot itu dikendalikan oleh empat kru warga asing iaitu tiga warga Myanmar dan seorang warga Indonesia dalam lingkungan umur 32 hingga 55 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan kru warga asing tanpa permit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siva Kumar berkata, kesemua kru dan bot ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah serta diserah kepada pegawai penyiasat maritim Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap salah laku dan jenayah.
“Aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627.
“Maklumat juga boleh disalurkan melalui talian kecemasan MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Malaysiapost

