MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menegaskan tiada dana dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang digunakan pada mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) peringkat daerah Tanah Merah, Kelantan, baru-baru ini.
Beliau berkata, sebaliknya perbelanjaan keseluruhan mesyuarat itu dibiayai oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
“Untuk makluman semua, semakan kementerian mendapati tiada sesen pun peruntukan KPM sama ada di peringkat JPN Jabatan Pendidikan Negeri), PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) atau sekolah digunakan untuk membiayai Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Secara Berkelompok Sekolah-sekolah di Tanah Merah.
“Sebaliknya, sumbangan dan perbelanjaan bagi program ini dibiayai oleh Ahli Parlimen Tanah Merah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau mengulas berkenan dakwaan bahawa cabutan bertuah yang sepatutnya diberi kepada ibu bapa yang hadir pada mesyuarat PIBG peringkat daerah Tanah Merah, tetapi diberi kepada orang ramai pada majlis Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, tular di media sosial surat daripada KPM yang menjemput PIBG di seluruh daerah Tanah Merah menyertai mesyuarat secara kelompok pada Sabtu lalu.
Dalam surat tersebut turut diberitahu pelbagai hadiah cabutan menarik ditawarkan selain hidangan 100 ekor kambing golek kepada ibu bapa dan guru yang hadir.
Malah, hadiah utama cabutan bertuah merupakan Perodua Axia bakal dimenangi. – Malaysiapost

