PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap memantau kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di Baling Kedah sejak semalam, meskipun masih berada Turki bagi lawatan rasmi.
Dalam hantaran di Facebook rasminya, Perdana Menteri telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.
“Walaupun masih berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, saya tetap memantau kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di Baling, Kedah sejak semalam.
“Agensi penyelamat masih menjalankan tugas untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam hantaran itu.
Ismail Sabri berkata, bantuan awal yang diberikan kepada ketua isi rumah ialah Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dan Bantuan Barang Keperluan Asas bernilai RM2,500.
Menurutnya, bantuan lain yang turut disalurkan adalah Bantuan Barangan Elektrik bernilai RM500 dan pembaikan rumah.
Beliau juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian banjir itu.
“Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar yang mewakili saya bersama-sama pihak ICU dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) telah menyampaikan BWI sebanyak RM10,000 seorang kepada waris-waris mangsa yang telah meninggal dunia tersebut.
“Bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal.
“Saya akan pastikan kebajikan mangsa-mangsa diberi perhatian sepenuhnya dengan kerjasama daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Baling, selepas berlaku limpahan air sungai di kawasan berdekatan.
Tragedi itu turut mengorbankan Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang sedang hamil empat bulan; Salmah Mat Akib, 53; dan Khairul Ikhwan Nor Azman, 14. – Malaysiapost

