Pekerja ladang patah pergelangan kaki kiri dipijak gajah

0
1

SEORANG pekerja ladang mengalami luka dan patah pergelangan kaki kiri dipercayai akibat dipijak gajah liar pagi semalam.

Mangsa yang bekerja di Ladang Semantan, dekat Mentakab, Temerloh Pahang mendakwa terserempak dengan haiwan itu kira-kira jam 8 pagi ketika sedang melakukan kerja di ladang berkenaan.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin, berkata pihaknya hanya mendapat maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 4.15 petang semalam.

“Mangsa dikenali sebagai N Arjunan berusia 55 tahun dan bertugas sebagai pekerja am ladang itu.

“Kita memperoleh maklumat selepas dimaklumkan pengurus ladang terbabit dan dua anggota PERHILITAN sudah dihantar ke ladang itu bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan.

“Mangsa kini sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh,” katanya ketika dihubungi media di Kuantan, Pahang, petang tadi.

Rozidan memaklumkan dua anggota PERHILITAN sudah melawat mangsa di hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Katanya, berdasarkan pemantauan awal di lokasi kejadian, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat sekurang-kurangnya tujuh ekor gajah liar memasuki kawasan ladang itu yang bersempadan dengan hutan simpan Kemasul, dalam daerah Bera-Temerloh.

“Buat masa ini pihak kami belum dapat menemubual mangsa dan operasi bagi mengesan kumpulan gajah liar itu sedang dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here