AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyokong kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu masuk penjara terlebih dulu jika mahu mendapatkan pengampunan.
Namun, Mohd Puad berkata, kenyataan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat itu telah diputar belit oleh Asia Times bagi menimbulkan ‘cerita panas bodoh’, selain menyifatkan perbuatan portal itu sebagai jahat.
Beliau berkata, individu yang layak memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong adalah mereka yang telah disabitkan kesalahan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Anwar memang minta pengampunan. Dia dalam penjara. Nak keluar kena minta ampun. Minta ampun bermakna mengaku salah. Najib mahu perbicaraan adil. Tidak minta ampun pun,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, jelasnya, Najib yang juga bekas Perdana Menteri tidak boleh memohon pengampunan selagi belum disabitkan bersalah.
Beliau berkata, apa yang Najib mahukan ketika ini adalah perbicaraan yang adil dijalankan terhadapnya.
“Logiklah apa Tok Mat (Mohamad) kata. Najib perlu masuk penjara kalau dia mahu minta ‘pengampunan’. Isunya Najib tidak minta pengampunan. Najib mahu perbicaraan yang adil. Belum habis lagi.
“Najib tidak pernah minta pengampunan. Tidak ada kenyataan dari Najib. Tidak ada rekod Najib mohon di Mahkamah. Bahkan tidak ada surat kepada Yang di-Pertuan Agong minta pengampunan
“Tetapi AsiaTimes menggunakan logik masuk penjara itu sebagai bahan cerita yang ‘dispin’ untuk buat cerita panas bodoh,” katanya.
Mohd Puad berkata, tidak munasabah jika Najib meminta pengampunan sedangkan perbicaraan masih berjalan termasuk isu Hakim Nazlan ada ‘conflict of interest’.
Semalam, Wartawan Asia Times Nick Kochan mempertahankan wawancaranya dengan Timbalan Presiden Umno itu berikutan dakwaan bahawa laporannya mengambil kenyataan Mohamad di luar konteks. – Malaysiapost

