SURAT jemputan mesyuarat untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di daerah Tanah Merah di Kelantan yang menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah minggu lalu, mengundang pertikaian dan kontroversi.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil meminta Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan adakah benar surat jemputan yang tular di media sosial itu dimanipulasi untuk kepentingan politik Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya ingin tanya Menteri Pendidikan, adakah surat yang tular untuk jemput mesyuarat PIBG di sebuah sekolah di Kelantan menawarkan hadiah kereta, motosikal, TV, lembu dan hidangan 100 kambing golek itu betul?
“Adakah majlis ini diadakan bersamaan dengan pelancaran kempen politik PN??
“Adakah kamu guna duit dan kemudahan kerajaan juga untuk majlis politik parti kamu tersebut?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Isham juga berkongsi gambar surat berkenaan yang menawarkan Perodua Axia transmisi automatik sebagai hadiah utama, dipercayai dalam usaha menarik orang ramai hadir ke mesyuarat PIBG di peringkat daerah Tanah Merah itu.
Semalam, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz menafikan parti itu menawarkan pelbagai hadiah seperti jam tangan G-Shock dan payung bagi memancing orang ramai hadir ke Majlis Pelancaran PN Kelantan, Sabtu lalu.
Beliau berkata, kehadiran ramai pengunjung ke program anjuran PN itu disebabkan usaha pihaknya melakukan publisiti dan hebahan seminggu lebih awal. -Malaysiapost

