LELAKI yang membunuh ibunya mendakwa mendengar bisikan wanita itu menyembah berhala menyebabkan dia bertindak menikam mangsa dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Rozizah Md Dom, 63, ditemui berlumuran darah dalam bilik tidur oleh anak perempuannya yang juga adik suspek.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, orang awam melaporkan kejadian itu kepada polis pada jam 3.05 petang, sebelum suspek berusia 38 tahun diberkas dengan bantuan penduduk.
“Mangsa ditemui dalam bilik tidur di belakang rumah dan siasatan oleh pasukan forensik mendapati terdapat dua kesan tikaman pada kanan dan kiri leher mangsa.
“Ketika ditanya, suspek mengatakan menikam mangsa setelah mendengar satu bisikan yang menyuruh membunuh ibunya kerana menyembah berhala dan atas sebab itu lelaki terbabit masuk ke dalam bilik dan menikam leher mangsa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Zainol berkata, ketika kejadian terdapat tiga penghuni di rumah itu terbabit termasuk mangsa dan difahamkan, sebelum ini mangsa hanya tinggal berdua dengan suspek yang juga seorang duda.
Katanya, mangsa baru selesai mandi ketika ditikam dan suspek didakwa sempat memberi pisau sayur sepanjang 26 sentimeter kepada wanita itu yang kemudiannya didakwa dibuang ke belakang rumah melalui tingkap.
“Pisau digunakan suspek ditemui di belakang rumah selain dia juga berada dalam keadaan normal ketika ditahan dan boleh bercakap,” katanya.
Menurutnya, semakan dibuat turut mendapati suspek iaitu anak sulung daripada lima beradik menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka sejak empat tahun lalu dan mempunyai dua rekod dadah.
Katanya, ujian saringan air kencing akan dilakukan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk permohonan reman, esok bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

