Struktur semula hala tuju ekonomi negara

0
1

HALA tuju ekonomi negara perlu distrukturkan semula supaya negara dapat pulih daripada kemelesetan ekonomi.

Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanahair, Armin Baniaz Pahami, berkata ukuran untuk inflasi dan kemiskinan juga perlu dikemaskini kerana ia tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat yang semakin terdesak mengharungi kehidupan seharian.

“Terkini, 288,000 rakyat Malaysia telah diisytihar muflis setakat Februari 2022, (Sementara) 50,000 kontraktor telah gulung tikar.

“(Manakala) 1.5 juta rakyat tergolong dalam kategori B5 yang dikenali sebagai ‘economically dead’ atau miskin tegar iaitu golongan yang tiada pendapatan, tabung simpanan dan tidak dapat meneruskan kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kegagalan mengawal nilai mata wang ringgit, harga barang yang semakin mahal selain ura-ura kadar faedah OPR dinaikkan, akan terus menyebabkan rakyat terbeban.

“Masalah kemiskinan dan pengangguran di negara kita berpunca dari struktur ekonomi yang tidak dipandu dengan baik dari segi hala tuju dan juga perlaksanaan.

“Malaysia gagal mencapai negara perindustrian seperti sasaran wawasan 2020 dan dengan industri perindustrian yang belum matang ini, hala tuju ekonomi telah dipandu-ubah, lebih menghala ke sektor perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, kesannya apabila jurang kenaikan gaji bagi sektor tertentu seperti perkilangan semakin meningkat dan ini terbukti apabila ramai graduan profesional seperti jurutera tidak mendapat gaji setimpal.

Katanya, jurutera siswazah dilaporkan menerima gaji statik dan tidak berubah semenjak hampir 20 tahun.

Jelasnya, penstrukturan semula ekonomi untuk menyelesaikan masalah kemiskinan akan mengambil kira lima faktor utama.

“Iaitu, keselamatan makanan; akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti untuk masa depan negara.

“Perumahan mampu milik khususnya mereka dalam golongan B40; penstrukturan semula pendidikan untuk membuka peluang pekerjaan berpandukan permintaan ekonomi dan Teknologi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here