TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menepis laporan Asia Times yang melaporkan beliau percaya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya dipenjarakan.
Sebaliknya menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Najib sepatutnya mendapat penghakiman yang adil dan bukannya pendakwaan terpilih.
“Sekiranya saya percaya Najib tidak mendapat perbicaraan adil, bagaimana boleh saya katakan beliau patut masuk penjara.
“Ia tidak masuk akal,” katanya kepada Malaysiapost.
Difahamkan Asia Times telah memetik di luar konteks kenyataan Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Tok Mat berhubung pendakwaan dihadapi Najib.
“Apa yang saya katakan adalah Najib mesti mendapat perbicaraan adil.
“Sekiranya beliau didapati bersalah, barulah beliau kena berdepan hukuman, tapi seperti kita tahu, kesnya belum lagi berakhir, sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan.
“Tapi, beliau mesti mendapat perbicaraan adil,” katanya lagi.
Untuk rekod, Najib memfailkan permohonan memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa dirinya dinafikan mendapat perbicaraan adil merujuk kepada Hakim Datuk Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa mempunyai konflik berkepentingan memandangkan peranannya sebagai peguam am dan setiausaha syarikat dalam Kumpulan Maybank.
Nazlan merupakan hakim perbicaraan yang mensabitkan Najib apabila kes SRC International didengar di Mahkamah Tinggi.
Dalam permohonannnya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah ketika Nazlan berada bersama Maybank antara 2006 hingga 2015 bermaksud beliau terbabit atau mempunyai pengetahuan bank berkenaan dalam menubuhkan SRC International, anak syarikat 1MDB.- Malaysiapost

