Najib cadang kerajaan beri minyak masak botol percuma kepada B40, M40

0
2

DATUK Seri Najib Razak mencadangkan peruntukan RM4 bilion bagi minyak masak paket subsidi ditukar kepada baucar atau tunai bernilai RM45 sebulan kepada golongan B40 dan M40 bagi membeli minyak masak botol 5 kilogram (kg).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mengikut perkiraan setahun, bajet minyak masak paket bersubsidi adalah RM3.54 bilion.

“Susulan kerajaaan menyatakan harga sebenar minyak masak ialah sekitar RM9 setiap kg, jadi lima paket adalah RM45, sekiranya kerajaan memberi baucar digital untuk lima paket 1kg secara percuma setiap bulan kepada B40 dan M40, maka 6.56 juta rumah tangga (B40 dan M40) X RM45 = RM295.2 juta sebulan.

“Setahun ialah RM3.54 bilion – iaitu di bawah bajet RM4 bilion diumum kerajaan bagi menyediakan minyak masak peket bersubsidi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Bagaimanapun, tambahnya, jumlah kos subsidi minyak masak paket yang dijual pada harga RM2.50 setiap kg kepada kerajaan, semakin meningkat mengikut tahun disebabkan kenaikan harga minyak sawit.

Katanya, peningkatan itu adalah sebanyak RM500 juta bagi tahun 2020, RM2.2 bilion bagi tahun 2021 dan 2022 pula RM4 bilion, bajet yang diumum kerajaan dua minggu lalu.

“Kos naik sebab harga minyak sawit naik sejak tahun 2020. Bilangan rumah tangga di Malaysia pada tahun 2020 adalah 8.2 juta – iaitu 3.28 juta B40 dan 3.28 juta M40,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat pemberian baucar atau tunai RM45 itu lebih berbaloi dibandingkan dengan subsidi minyak masak paket.

Beliau yang turut melakukan tinjauan berkata, harga minyak masak botol 5kg di pasar raya Lotus, seperti Saji dan Alif iaitu RM29.90 dan RM29.70, murah daripada jangkaan sebelum ini.

Katanya, dengan baucer atau tunai itu, mereka mampu membeli minyak masak botol 5kg yang berharga sekitar RM30 hingga RM40 sebotol.

“Jadi, adakah ia lagi elok untuk berbelanja RM3.54 bilion untuk memberi 5kg minyak masak secara percuma kepada setiap rumah tangga B40 dan M40 berbanding belanja RM4 bilion untuk menyediakan minyak masak peket bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50?

“Jika tidak mahu memberi baucar, boleh berikan tunai RM45 sebulan kepada setiap rumah tangga B40 dan M40 selagi harga minyak masak masih tinggi.

“Dengan tunai RM45, rumah tangga B40 dan M40 boleh beli minyak masak botol 5kg sendiri di pasar raya dengan harga sekitar RM30 hingga RM40 sebotol,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, masalah kesukaran mencari bekalan minyak masak peket bersubsidi, penyalahgunaan serta penyeludupan tidak akan wujud. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here