DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada mangsa banjir kilat di Baling, semalam.
Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan awal kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat iaitu bantuan barang keperluan asas sebanyak RM2,500, bantuan barangan elektrik RM500 serta pembaikan rumah.
“Setiausaha Politik saya, Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah sampaikan BWI kepada semua KIR hari ini termasuk tiga waris mangsa yang meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang.
“Kesemua bantuan awal ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM500,000,” katanya menerusi kenyataan.
Perdana Menteri berkata kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah itu mengalami kerosakan dan sebanyak 25 rumah telah musnah sama sekali.
Susulan itu beliau mengarahkan semua agensi terlibat untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa tragedi ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.
“Bantuan-bantuan lain akan disusuli segera termasuklah kerja pembersihan kawasan dan projek tebatan banjir yang kritikal.
“Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.
“Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa akan diberi perhatian sepenuhnya dengan kerjasama erat semua pihak baik dari kerajaan Persekutuan mahupun negeri,” katanya
Menurut Ismail Sabri, bencana tersebut telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 mangsa yang melibatkan 112 KIR.
Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah. – Malaysiapost

