Bersatu nafi beri G-Shock, payung untuk tarik pengunjung program PN

0
2

TIADA pemberian jam tangan G-Shock atau payung kepada pengunjung yang hadir pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz, berkata beliau kesal dengan tuduhan berkenaan selain menafikan penganjur memberikan hadiah kepada pengunjung seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, dakwaan orang ramai diberi jam tangan G-Shock adalah tidak munasabah kerana majlis itu dihadiri lebih 30,000 pengunjung, dan ia pastinya menggunakan kos besar mencecah berbelas juta ringgit.

“Saya ingin menjelaskan laporan sebuah portal berita yang membangkitkan persoalan sama ada orang ramai yang menghadiri Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu lalu (2 Julai 2002) disebabkan pemberian jam tangan G-Shock dan payung atau penyokong tulen Perikatan Nasional.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya pemberian jam tangan atau payung tersebut seperti mana didakwa,”katanya dalam satu kenyataan.

Ikmal Hisham berkata, kehadiran ramai pengunjung ke program anjuran PN itu adalah disebabkan usaha pihaknya yang telah melakukan publisiti hebahan mengenai program berkenaan seminggu lebih awal.

“Untuk makluman, seminggu sebelum acara tersebut, saya sudah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah bahawa bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir bagi melancarkan PN Peringkat Negeri Kelantan.

“Dan pada hari berkenaan juga, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran tersebut, terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang,” katanya.

Jelasnya, kehadiran orang ramai ke majlis berkenaan adalah kerana ingin bertemu dengan Muhyiddin yang selama ini bekerja keras menangani pandemik Covid-19 ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Saya percaya kehadiran mereka adalah bagi menghargai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Berhubung hadiah cabutan bertuah, dalam banyak program melibatkan rakyat kebiasaannya ada acara seumpama itu bagi memeriahkan majlis namun perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besar pun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir,” katanya.

Sehubungan itu, Ikmal Hisham mempelawa mana-mana pihak untuk menganjurkan sebarang majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan sama ada mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang.

“Saya mencabar mereka yang membuat tuduhan mengemukakan bukti mana-mana individu yang menerima pemberian jam tangan atau payung itu ketika hadir di majlis berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here