Banjir Baling: Satu lagi mayat ditemui

0
2

SEORANG lagi mangsa dilapor hilang dan dihanyutkan kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Baling semalam, disahkan maut selepas mayatnya ditemui kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mayat Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi penemuan mayat ibunya, Salmah Akib, 53, dan kakak iparnya, Nurul Hanis Abu Hassan, 23.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Sayani Saidon berkata kesemua mangsa ditemui di bawah timbunan batang pokok namun jasad mereka berada dalam keadaan sempurna.

“Kita percaya mangsa hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu, sekali gus terperangkap di bawah timbunan bongkah terbabit.

“Pasukan penyelamat ternampak kaki mangsa dan berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan diikuti mayat kedua.

“Manakala bagi mayat ketiga ditemui tidak jauh dari lokasi penemuan mayat pertama dan kedua namun kita tidak nampak keberadaanya disebabkan timbunan kayu yang banyak,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Tambah Sayani, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sayani berkata, operasi pencarian mangsa hilang selesai susulan pihaknya hanya menerima laporan berhubung kehilangan tiga individu dalam insiden terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat selesai namun operasi secara keseluruhan belum dihentikan. Kita lakukan kerja-kerja sampingan termasuk pembersihan di lokasi banjir,” katanya.

Terdahulu, mayat wanita hamil yang disahkan hilang susulan kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, semalam, ditemui dalam keadaan berpelukan dengan ibu mentuanya yang menghidap angin ahmar.

Mayat Nurul Anis dan Salmah ditemui pada jam 9.30 pagi tadi di bawah timbunan kayu pokok.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here