PEMIMPIN dan ahli Umno diseru agar tidak menjadi agen pemecahbelah keharmonian dan kesatuan dalam parti di saat menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15).
EXCO Pemuda Umno, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, berkata pemimpin dan ahli parti itu juga diharap tidak menjadi duri dalam daging kepada parti.
“Janganlah kita sesekali menjadi penghalang dan mula memecah belahkan parti keramat ini.
“Ingat bahawa kita semua telah bersetuju bahawa misi utama kita adalah memenangi PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang membuat pelbagai pendedahan mengenai isu dalaman Umno dalam sidang medianya semalam.
“Janganlah dek kerana isu dalaman seperti ini menyebabkan kita hilang fokus terhadap sasaran utama kita.
“Nasihat saya pada beliau (Tajuddin) gunakanlah masa ini untuk berehat, nasihat juga buat diri saya dan kalian semua, usahlah kita menjadi duri dalam daging dalam keluarga Umno yang tercinta,” ujarnya.
Shahrul Nasrun berkata, inilah masanya bagi pemimpin lama memberi ruang kepada muka-muka baharu untuk berada dalam kepimpinan Umno dan memberikan idea-idea yang baharu untuk parti.
Tambah beliau, ahli-ahli Umno perlu mengambil kira usaha yang dilakukan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sehingga membawa kepada pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali gus membolehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Beliau lakukan segalanya untuk kembalikan maruah Umno selepas dihina pada PRU14, selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid juga memimpin beberapa siri pilihanraya termasuk PRN Melaka dan Johor yang membawa kepada kemenangan besar buat Umno dan BN.
“Kemenangan demi kemenangan tidak dapat kita kecapi tanpa wujudnya seorang pemimpin yang baik, kemenangan ini juga telah membuktikan bahawa rakyat telah menerima semula jenama Barisan Nasional pada siri-siri pilihanraya,” katanya.
Menurut beliau, adalah tidak wajar melabelkan Ahmad Zahid sebagai tamak kuasa, sedangkan Presiden Umno itu memahami seni politik sehingga berjaya meletakkan semula parti itu dipuncak kuasa.
“Inilah yang kita namakan seni silat dalam berpolitik, tidak segalanya kita perlu zahirkan, tekanan yang diberikan kepada ‘Kerajaan Muhyiddin’ dengan mewujudkan naratif bahawa Umno akan menyokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah membawa kepada pelantikan Ismail Sabri selaku Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri.
“Pengurusan yang tidak cekap Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika krisis pandemik Covid-19 memuncak, telah menyebabkan Muhyiddin meletakkan jawatan dan menjadikan Ismail Sabri daripada Umno sebagai Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Shahrul Nasrun

