Perang Dunia Ketiga mungkin tercetus jika Ukraine sertai NATO – Tun M

0
1

PERANG Dunia Ketiga mungkin tercetus sekiranya Ukraine menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), berkata serangan oleh Rusia terhadap Ukraine akan mengakibatkan peperangan dengan semua negara anggota pertubuhan itu.

Menurutnya, ia bermakna perang antara NATO dan Rusia berupaya menjadi Perang Dunia Ketiga dengan kemungkinan penggunaan senjata nuklear.

“Salah satu perjanjian antara negara-negara NATO adalah bahawa serangan terhadap satu negara anggota akan dianggap sebagai serangan terhadap semua negara anggota NATO.

“Ukraine masih belum menjadi ahli (NATO). Jika Rusia menyerang, NATO tidak diwajibkan berperang melawan Rusia. Sebaliknya jika Ukraine diterima sebagai ahli NATO, serangan oleh Rusia akan mengakibatkan peperangan dengan NATO,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Rusia tidak mungkin akan mengaku kalah, begitu juga NATO dan keadaan itu akan menyaksikan Eropah sekali lagi akan memusnahkan dunia.

Menurutnya, ketenteraan Rusia telah dilemahkan oleh perpecahan Kesatuan Soviet dan NATO menganggap ia sebagai satu anugerah.

“Keadaan itu bagaimanapun tidak membuatkan NATO berhenti daripada merekrut lebih ramai negara anggota terutama negara yang rapat dengan Rusia. Permainan perang di kalangan negara NATO, sekali lagi ditujukan kepada Rusia.

“Rusia kini kembali memperkuatkan ketenteraan apabila negara anggota NATO lebih ramai dan semakin hampir dengan Rusia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here