‘Daripada PAS, lebih baik pilih Umno’ – Zaid Ibrahim

0
1

PAS tidak fokus kepada hal-hal penting melibatkan negara, tetapi hanya mengutamakan perkara yang rakyat sendiri tidak dapat mengukur keikhlasan parti itu.

Perkara itu ditegaskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, yang berkata ‘cukup masak’ kerana selama 32 tahun Kelantan duduk di bawah pemerintahan PAS Kelantan.

“Sejak 32 tahun di bawah PAS saya tahu. Lebih baik pilih Umno. Walaupun apa kekurangan parti itu, ia lebih maju dan progresif daripada PAS.

“PAS tak cakap hal-hal yang penting. Walaupun kata (PAS) parti siasah, tapi PAS lebih utamakan hal-hal yang kita sendiri tak dapat mengukur keikhlasan mereka.

“Jadi bagi saya lebih baik pilih parti Umno, sebab tu saya pilih tolong Umno,” katanya dalam video di Facebook, semalam.

Mohd Zaid turut menyifatkan jika PAS memerintah, maka rakyat perlu memikirkan solusi lain seperti berhijrah ke negara yang lebih maju.

Beliau juga memberi gambaran rakyat perlu berhijrah ke negara yang mementingkan sains dan teknologi jika PAS memerintah negara, sekali gus memberi gambaran Kelantan yang diterajui bawah parti itu ‘ketinggalan’ berbanding negeri lain.

“Jika PAS memerintah Malaysia, kita kena fikir mungkin berhijrah atau ke Indonesia. Kerana Indonesia juga negara Islam, lebih maju dan kehadapan.

“Indonesia lebih mengutamakan sains, teknologi, sejarah, budaya. Banyak aspek kehidupan yang dititiberat oleh kerajaan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan pemimpin Umno, Mohd Zaid berkata beliau mengenali beberapa pemimpin parti berkenaan ketika berkhidmat dalam Kabinet, khususnya Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi.

Katanya, Ahmad Zahid adalah antara menteri yang menolak cadangan untuk mengguling Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

“Zahid Hamidi kata macam mana dia (Zahid) nak lawan Pak Lah, Pak Lah yang lantik dia. Di situ boleh lihat, Zahid Hamidi setia kepada orang yang menolong dia.

“Kita sokong kepada pemimpin bukan hanya kerana janji. Tetapi sifat Zahid Hamidi setia kepada Pak Lah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here