Warisan sedia kerjasama mana-mana gabungan menang PRU-15 – Mohd Shafie

0
1

PARTI Warisan (Warisan) sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat negara ini.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia kerana pihak yang menang pada PRU-15 merupakan parti pilihan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata justeru Warisan menghormati keputusan tersebut dengan menjalin kerjasama menguntungkan kepada rakyat di peringkat Persekutuan dan juga Sabah.

Mohd Shafie bagaimanapun menegaskan bahawa persefahaman yang dibentuk itu mestilah sebuah kerjasama pintar serta tidak berat sebelah dan paling penting, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Sama ada Barisan Nasional, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (menang PRU15), bila rakyat sudah buat keputusan, kita kena hormat… kita tidak boleh menafikan hak rakyat di negara ini tetapi saya tolak Langkah Sheraton, lompat sana lompat sini kerana itu bukan mandat yang diberikan rakyat.

“Selepas pilihan raya, rakyat putuskan… nakkan kestabilan politik tetapi mesti ada kerjasama pintar,” katanya dalam sesi perkongsian secara langsung dalam talian di laman Facebook malam tadi.

Beliau turut menegaskan langkah Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung tidak akan mengganggu-gugat perjuangan asal parti itu untuk membela rakyat dan negeri Sabah.

“Kita mesti bergabung dengan seluruh Malaysia… Presidennya (Warisan) dari Sabah tetapi isterinya orang Kedah.

“Kita sedang membina sebuah negara… sudah berpuluh tahun gabungan politik berpecah-pecah, mungkin perlukan angin dari timur (untuk satukan),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here