Matdon sedih, menangis selepas digugurkan dari skuad Harimau Malaya

0
1

PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mengakui sedih dan menangis sebaik sahaja mengetahui namanya tidak tersenarai dalam skuad Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, dia yang turut dikenali sebagai Matdon menegaskan kegagalan mendapat tempat dalam skuad bimbingan Kim Pan Gon tidak bermakna pintu buatnya sudah tertutup rapat.

Pemain tengah berusia 30 tahun itu sebaliknya masih berharap untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan bangkit lebih kuat.

“Apabila jurulatih memberitahu saya berita itu, saya menangis dan sedih kerana bagi saya semua mengenai kemenangan dan mencipta sejarah terutamanya untuk negara yang saya sayang dan saya sanggup mati untuknya.

“Saya mengalami sedikit kecederaan semasa kem dan tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar, jadi kami membuat keputusan untuk pulih dahulu kemudian bangkit semula.

“Saya berusaha setiap hari tetapi ia tidak berkesan dengan semua kesakitan ini tiada siapa yang tahu. Saya mengorbankan kesihatan saya untuk memberikan seluruh negara apa yang mereka harapkan, tetapi malangnya saya tidak dapat,” tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, Matdon berjanji akan kembali lebih kuat dan cuba melakukan segala-galanya untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan selepas ini.

“Ini bukan penamat era Matdon. Saya kenal diri saya, saya tahu apa yang saya mampu lakukan. Saya sayang Malaysia dan saya sayang rakan sepasukan.

“Saya tidak pernah melihat begitu banyak perasaan sayang dan mesej yang indah melebihi 20 ribu mesej yang positif, ini memberi saya banyak harapan dan gembira untuk kembali lebih kuat,” katanya.

Liridon dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan, namun dia digugurkan bersama enam pemain lain sebelum kempen kelayakan yang menyaksikan Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here