BAKAL Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Zuraida Kamaruddin, mempelawa mana-mana Ahli Parlimen di Malaysia menyertai parti baharu itu yang kini mempunyai 190 bahagian di seluruh negara.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, Ahli Parlimen yang berhasrat menyertai PBM dialu-alukan dan penyertaan mereka akan menjadikan parti terbabit lebih ‘meriah’.
“Mereka (Ahli Parlimen) adalah dialu-alukan untuk menyertai parti dan mengukuhkan lagi blok saya. Lebih ramai lebih meriah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia bertempat di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, malam tadi.
Menurut Zuraida, pihaknya juga membentuk struktur akar umbi PBM di Sabah di mana sebanyak 26 bahagian termasuk di Labuan sudah ditubuhkan setakat ini.
Media sebelum ini melaporkan Zuraida mengumumkan keluar dari Bersatu dan menyertai PBM menerusi satu kenyataan media bertarikh 26 Mei lepas.
Presiden PBM, Larry Sng juga mengesahkan penyertaan Zuraida dalam PBM dan mengumumkan Ahli Parlimen terbabit sebagai bakal Presiden (president-designate) parti terbabit. – Malaysiapost

