Suara cendekiawan diperlukan bantu negara – Mohamed Khaled

0
1
khaled nordin umno online

GOLONGAN intelektual digesa untuk tampil membantu negara dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran politik, ekonomi, sosial dan pembangunan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata golongan intelektual bertanggungjawab menampilkan ilmu yang mereka kaji, ajar serta terokai untuk manfaat insan dan bukan sekadar memberikan pandangan sepintas lalu.

“Negara kita terus berhadapan dengan pelbagai cabaran politik, ekonomi, sosial dan pembangunan. Tetapi yang membimbangkan saya adalah kurangnya menampilkan dan mengetengahkan ‘discourse’ yang aktif dan membina tentang pelbagai masalah dan krisis yang melanda negara baik daripada segi media cetak mahupun media digital.

“Yang kedengaran adalah kecaman dan kritikan bersandarkan pendapat semata-mata, tanpa data, dapatan empirikal dan pemikiran yang kritis.

“Malangnya lagi, yang maha berpengaruh adalah ‘netizen’, bukan para pemikir bangsa bertauliah yang mendominasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Malaysia memerlukan pembudayaan intelektual dan ‘alternative views’ terhadap pelbagai dasar nasional, bukan ulasan tidak substantif, cetek apalagi populis.

“Golongan bijak pandai di universiti-universiti wajar tampil dengan pencerahan serta semak dan imbang melalui tulisan, idea, kritikan dan debat yang mencerahkan. Bukan sekadar memberikan pandangan sepintas lalu.

“Kita tidak mahu wujud tanggapan masyarakat yang mereka tidak ‘resonates’ dengan segala kemaslahan bangsa dan negara. Hanya ghairah mengejar ‘ranking’ universiti dan ‘KPI’ demi prestij, bukan sumbangan,” katanya.

Beliau percaya golongan intelektual berkenaan mempunyai gagasan serta kecerdasan yang boleh menerbitkan dasar dan solusi yang benar-benar bermutu dan memanfaatkan.

“Ayuh kepimpinan universiti, janganlah terus membisu dan hanya reaktif. Seolah-olah universiti-universiti kita tidak punya sumber dan kekuatan pemikiran untuk menyumbang solusi handal terhadap masalah nasional.

“Jika dasar awam kita digubal, diulas dan dilaksanakan tanpa sumbangan dan kolaborasi para cendekiawan bangsa, bayangkan betapa ruginya tanah air ini sedangkan kita mempunyai sumber insan terbaik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here