Pemimpin DAP ajak rakyat turun ke jalan raya

0
1
Logo DAP

SEORANG pemimpin DAP mengajak rakyat turun ke jalan raya untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang gagal menangani beberapa isu ketika ini. 

Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, berhimpun di jalanan akan memberi isyarat rakyat kepada kerajaan agar bingkas bangun daripada tidur dalam menyelesaikan isu yang membebankan kehidupan rakyat. 

“Bila berhimpun, kita boleh beri signal pada kerajaan yang memerintah. Bayangkan kalau satu juta rakyat berhimpun di ibu kota. Paling tidak, kerajaan akan buka mata. 

“Satu juta rakyat berhimpun untuk ‘kejutkan’ pemimpin negara daripada terus ‘tidur’. Rakyat mahu penyelesaian, bukan terus main politik dan tak fokus untuk selesaikan masalah rakyat. Rakyat tengah sengsara sekarang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menjelaskan mengenainya, Sheikh Umar berkata, harga barangan yang meningkat mendadak kian menghimpit kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. 

“Hari ini harga barang naik mencanak-canak. Kerajaan lambat bertindak. Rakyat terus dihimpit kos sara hidup. Dari bahan makanan, barangan mentah, harga petrol semuanya naik melambung tinggi. Yang menjadi mangsa adalah rakyat.

“Pada masa yang sama, nampaknya kerajaan masih banyak bercakap hal kepentingan politik peribadi dan parti sahaja. Kerajaan ‘slow’. Lambat bertindak untuk selesaikan masalah rakyat. Rakyat makin tertekan,” katanya. 

Justeru, beliau berkata, sudah sampai masanya untuk rakyat turun ke jalanan bagi menyuarakan hak mereka yang menuntut kerajaan membela nasib mereka yang semakin hari kian dihimpit kos sara hidup yang naik mendadak. 

“Turun berhimpun adalah hak demokrasi rakyat. Kita ada hak yang dijamin perlembagaan untuk berhimpun dan laungkan suara kita. Ini bukan pertama kali. Perhimpunan Bersih sudah diadakan lima kali. Perhimpunan-perhimpunan lain juga banyak kali kita adakan.

“Jadi, mungkin sekarang sudah masanya untuk rakyat turun ke jalan raya. Laungkan suara kita,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here