UKSB: Segera bentang undang-undang pendanaan politik – C4

0
1
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi bicara hujah akhir kes rasuah Yayasan Akalbudi.

PUSAT Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mahu undang-undang mengenai pendanaan dan derma politik dibentangkan secepat dalam usaha mengekang rasuah politik.

Kumpulan itu, berkata perbicaraan rasuah melibatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan sumbangan politik yang tidak terkawal menjadi penyebab utama rasuah politik.

C4 berkata, di bawah kerangka undang-undang sedia ada, tiada had tertentu dibenarkan ke atas jumlah sumbangan politik selain tiada keperluan untuk parti politik mendedahkan identiti penderma.

“Ini menghalang apa-apa jenis pengawasan atau penelitian awam tentang bagaimana derma politik mempengaruhi sistem politik kita sehinggalah seorang ahli politik itu didakwa menerima rasuah, seperti yang dibuktikan dalam kes Ahmad Zahid sekarang.

“Berapa banyak lagi ‘derma politik’ yang mencurigakan diberi kepada ahli politik yang orang ramai tidak tahu?” menurut kenyataan itu, hari ini.

C4 berkata, kurangnya peraturan mengenai sumbangan politik menyebabkan sukar untuk membezakan antara derma politik dan rasuah.

“Walaupun ia mungkin sumber pendanaan politik yang sah, tanpa peraturan dan pengawasan yang sewajarnya, ia bukan saja membuka pintu kepada kemungkinan berlakunya rasuah besar-besaran antara ahli politik yang berkuasa dan syarikat yang mencari pengaruh, tetapi mereka juga memusnahkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem politik.

“Sebilangan besar ahli politik yang menghadapi kes mahkamah melibatkan derma politik menunjukkan bahawa ini bukan amalan terpencil,” katanya.

Justeru, C4 berkata, selain undang-undang pendanaan politik, pihaknya juga menuntut undang-undang pengisytiharan aset dibentangkan.

Selain itu, kumpulan itu juga meminta, semua ahli politik yang dinamakan dalam perbicaraan Ahmad Zahid menjelaskan penerimaan dana mereka daripada UKSB dan bagaimana wang itu digunakan.

“SPRM juga perlu menjelaskan mengapa siasatan tidak dijalankan walaupun mengetahui kandungan lejar itu.

“Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat SPRM kerana tidak mengadakan siasatan lebih awal,” katanya.

Dalam prosiding mahkamah baru-baru ini, bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, memaklumkan lejar itu merekodkan pembayaran antara 2014 hingga 2018 kepada beberapa ahli politik yang identiti mereka dirahsiakan melalui nama kod.

Menurut bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, lejar itu merekodkan pembayaran antara 2014 hingga 2018 kepada beberapa ahli politik yang identiti mereka dirahsiakan melalui nama kod.

Antara nama yang disebut adalah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman turut disebut dalam buku lejar UKSB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here