‘Hentikan amalan pendakwaan terpilih’ – Pemuda Umno

0
1

PEMUDA Umno menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang didakwa menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang didedahkan saksi di mahkamah, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau berharap tiada sebarang usaha dilakukan pihak tertentu untuk menutup semua kes rasuah termasuk yang didedahkan saksi mahkamah.

“Apa-apapun saya setuju, jangan ada sebarang usaha untuk menutup kes-kes rasuah termasuk yang didedahkan oleh saksi di mahkamah.

“Hentikan amalan pendakwaan terpilih yang menjejaskan reputasi sistem keadilan negara.

“Pemuda Umno menyokong penuh agar SPRM meneruskan siasatan ke atas semua nama-nama yang didedahkan dan didakwa menerima wang daripada Ultra Kirana berasaskan keterangan saksi di Mahkamah minggu lalu,” katanya menerusi Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi turut membidas Lim Guan Eng berhubung kritikan Pengerusi DAP itu terhadap SPRM berhubung siasatan kes rasuah di negara ini.

Beliau berkata, ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali dalam sejarah, Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik daripada kalangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

“Lim Guan Eng sudah lupa ke? Zaman PH, bila Ketua Pesuruhjaya SPRM buat pertama kali dalam sejarah dilantik daripada kalangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

“Terus kes-kes rasuah melibatkan pimpinan PH ditutup atau ditarik balik termasuk kes Terowong dalam laut,” katanya.

Semalam, Guan Eng menggesa SPRM dirombak secara besar-besaran bagi memulihkan keyakinan dan memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International.

Guan Eng berkata, SPRM dilihat gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka selepas pendedahan saksi mahkamah melibatkan kes Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan UKSB serta Bestinet. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here