Dr Fadzilah Kamsah kongsi 7 kebaikan Adibah Noor

0
1

BERITA pemergian selebriti terkenal, Allahyarham Adibah Noor pada malam Sabtu lalu, nyata mengejutkan pelbagai pihak.

Susulan itu satu-persatu kebaikan yang pernah dibuat Allahyarham semasa hayatnya dikongsikan keluarga, rakan selebriti dan orang ramai.

Kebaikan Allahyarham turut mendapat perhatian pakar motivasi terkenal negara, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Berkongsi di laman Facebooknya, Dr Mohd Fadzilah menulis tujuh kebaikan Allahyarham yang wajar dicontohi semua iaitu:

  1. Bersifat pemurah. Ramai rakan artis yang mengenali beliau, sentiasa sifatkan beliau ini selalu belanja makan, tak lokek dengan memberi dan bersedekah.
  2. Tiada jurang dengan peminatnya. Beliau ramah dan sering membalas komen atau tweet peminatnya dengan penuh kebaikan dan positiviti.
  3. Sangat menjaga bahasa dan tutur kata. Beliau mahal dengan kata-kata aras tinggi dan mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu dan English yang ada sleng memukau.
  4. Berdiri atas bakat sendiri. Hidup beliau setiap adalah belajar dan memperbaiki bakat. Mengasah lebih baik dan sentiasa berniat untuk berikan yang terbaik pada audience.
  5. Menggunakan platform media sosial ke arah kebajikan. Beliau selalu retweet dengan cara membantu orang awam dan juga haiwan peliharaan. Beliau buat dengan sukarela dan ikhlas.
  6. Beliau sentiasa membuat orang lain ketawa dan tersenyum. Semua orang yang meluangkan masa dengannya sentiasa dapat aura positif dan sangat menenangkan bila bersama dengannya.
  7. Kata-kata beliau sarat dengan inspirasi dan pengajaran. Beliau sentiasa memberi kata-kata semangat dan motivasi buat orang di sekelilingnya.

Mengulas lanjut, pakar motivasi itu berkata, pemergian Allahyarham bermakna hilangnya sebutir mutiara seni yang pasti dirindui semua di Malaysia.

“Semoga kebaikannya terus mengalir dan menginspirasi kita semua ya. Semua info ini adalah melalui penelitian dan pembacaan di berita dan internet ya,” tulisnya.

Allahyarham Adibah Noor Mohamed Omar, 51, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di ibu negara, kira-kira jam 7.30 malam Sabtu lalu akibat kanser ovari tahap empat.

Jenazahnya kemudian dimandi dan dikafan di Masjid Al-Ansar Taman Keramat, kira-kira jam 9.20 pagi Ahad dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here