Bon Odori: Kenyataan Setiausaha PAS Selangor tidak tepat

0
1

KENYATAAN yang dikeluarkan Setiausaha PAS Selangor berhubung perayaan Bon Odori yang disiarkan sebuah portal berita ketika sesi menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah tidak tepat serta tidak pernah berlaku.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata pada sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya menyatakan tentang pendirian baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun Bon Odori yang akan diadakan di Selangor kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Katanya, Sultan Selangor juga menyatakan pandangan baginda bahawa festival Bon Odori hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang mana-mana orang Islam untuk menghadirinya sehingga satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan, sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam.

“Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, yang disiarkan dalam FMT semalam di bawah tajuk ‘Tiada Masalah antara kami, kata PAS Selangor selepas menghadap Sultan’ yang mana dalam kandungan berita tersebut memetik sebagai berkata ‘Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori’

“‘Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda’,

“… adalah ditegaskan bahawa kenyataan ini adalah tidak tepat sama sekali dan tidak berlaku sebenarnya ketika Pesuruhjaya PAS Selangor menghadap Sultan Selangor pada tarikh berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada petang 14 Jun itu, turut dititah hadir bagi menyaksikan pertemuan itu adalah beberapa orang Ahli Dewan di-Raja Selangor termasuk Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Semalam, Dr Ahmad Yunus dalam kenyataan memaklumkan pertemuannya bersama Sultan Selangor pada Selasa lalu hanya untuk mendengar titah baginda dan tiada sebarang perbincangan berlaku antara beliau dan Sultan Sharafuddin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here