Sindiket penyelewengan diesel tumpas, dalang bergelar Datuk ditahan

0
2

SINDIKET penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbesar di Johor berjaya ditumpaskan dengan penahanan seorang lelaki tempatan bergelar Datuk bersama 29 ahli sindiket lain serta rampasan hampir 100,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM3.018 juta.

Ketua Polis Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kesemua suspek berkenaan ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dijalankan oleh Cawangan Risikan dan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan bermula malam tadi dan berjaya menumpaskan satu sindiket besar yang menyeleweng minyak diesel bersubsidi untuk dijual di pasaran antarabangsa.

“Seramai 30 tangkapan berjaya dilakukan selain 27 kenderaan disita bersama hampir 100,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM3.018 juta

“Turut dirampas wang tunai lebih RM12,000. Daripada 27 kenderaan yang disita, 26 adalah pelbagai jenis lori,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 22 hingga 46 tahun termasuk seorang warga asing dan berdasarkan siasatan sindiket terbabit sudah beroperasi selama kira-kira sebulan.

“Seorang lelaki bergelar Datuk berusia 46 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket penyelewengan minyak diesel berkenaan berjaya ditahan.

“Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes curi, ugutan Jenayah dan juga tipu.

“Siasatan akan dilakukan bagi mengenalpasti bagaimana suspek boleh mendapat gelaran Datuk walaupun mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Menurutnya, polis juga akan memberikan maklumat berkaitan sindiket terbabit kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi siasatan berhubung cukai.

Beliau berkata, siasatan juga akan membabitkan sama ada wujud mana-mana penguatkuasa yang ‘belot’ dalam melaksanakan tugas membabitkan sindiket berkenaan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori dengan tangki yang diubahsuai untuk mengisi minyak di stesen-stesen minyak. Setiap tangki yang diubah suai boleh mengisi 1,000 liter minyak diesel dan dijual ke negara jiran melalui laluan laut.

“Polis masih lagi memburu saki baki ahli sindiket berkenaan dan kes diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here