PTPTN mohon kerajaan lanjutkan tawaran diskaun pembayaran pinjaman

0
1

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memohon kepada kerajaan agar tempoh pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman dipanjangkan sehingga 31 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau telah menulis surat kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkenaan perkara itu pada April lalu.

“Saya telah menulis surat kepada Menteri Kewangan pada April yang lalu untuk meminta supaya tempoh pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN dipanjangkan sehingga 31 Disember 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Wan Saiful berkata, sebelum ini kerajaan bersetuju memberikan diskaun 15 peratus kepada peminjam sekiranya membayar keseluruhan pinjaman bermula November tahun lepas.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu itu, dalam keadaan ekonomi yang kekal mencabar, adalah wajar kerajaan meneruskan skim yang sedia ada.

“Tetapi diskaun tersebut telah tamat pada 30 April 2022 yang lalu.

“Pelaksanaan insentif diskaun tersebut telah memberikan manfaat kepada ramai peminjam. Dalam situasi ekonomi yang mencabar, sudah pasti diskaun tersebut adalah berita baik yang disambut oleh ramai.

“Saya tidak minta kelulusan untuk skim baru. Hanya saya mahu mengekalkan skim yang sama sahaja untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini.

“Saya amat berharap kerajaan akan memberi kelulusan kepada cadangan yang saya utarakan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here