Kerajaan harus bangun daripada tidur – Guan Eng

0
2

PENURUNAN mendadak Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) yang dilaporkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2022, adalah kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Ismail Sabri Yaakob, kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, kedudukan negara turun sebanyak tujuh tangga daripada kedudukan ke-25 pada 2021 ke kedudukan ke-32 tahun ini, merupakan amaran jelas tentang kegagalan tadbir urus yang baik oleh pentadbiran Ismail Sabri.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk mengambil perhatian tentang kekurangan kecekapan, kepastian, konsistensi dan kejelasan tadbir urus untuk menggantikan kelemahan, kekeliruan dan ‘flip-flop’ dalam dasar yang ketara.

“Laporan daya saing terbaharu ini tidak memberi petanda baik kepada ekonomi Malaysia yang dilanda kenaikan harga dan kos sara hidup yang tinggi, rasuah yang meningkat, kekurangan buruh yang teruk, ringgit yang semakin lemah, kerenah birokrasi kerajaan, kesesakan lalu lintas dan kesesakan talian komunikasi,”

“Kerajaan harus bangun daripada tidur dengan mewujudkan Dana Penstabilan Harga dan Stok Penampan bagi komoditi penting untuk mengurangkan kadar kenaikan dan pergerakan harga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, pada masa yang sama, pemansuhan permit import (AP) makanan tidak seharusnya diikuti dengan peningkatan birokrasi yang memperlahankan masa pemprosesan.

Beliau berkata, subsidi harus segera diagihkan dan tidak ditangguhkan seperti subsidi ayam daging yang menyaksikan daripada RM730 juta yang diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), hanya RM50 juta telah dibayar setakat akhir Mei.

Menurutnya, kekurangan tenaga kerja telah menghantui banyak perniagaan dengan banyak syarikat beroperasi di bawah kapasiti. Jika ini tidak diselesaikan dengan segera, pertumbuhan ekonomi akan terjejas teruk.

“Kerajaan harus berhenti tenggelam dalam sindrom penafian dengan mendakwa bahawa inflasi terkawal pada 2.3 peratus apabila angka ini disebabkan oleh harga kawalan.

“Refleksi yang lebih tepat adalah dengan melihat Indeks Harga Pengeluar yang berada pada paras 11 peratus pada April,” katanya.

Beliau menggesa agar Perdana Menteri mengarahkan Menteri untuk turun padang dan mendapatkan penilaian yang realistik dengan melawat pasar, bukannya pergi lawatan ke luar negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here