Adun PH, MUDA sokong kembalikan Sabtu dan Ahad sebagai cuti hujung minggu Johor

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Johor menyokong usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan cuti hujung minggu kepada hari Sabtu dan Ahad.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Liew Chin Tong, berkata semua Adun berkenaan menyokong apa yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam.

Menurutnya, sokongan dwipartisan PH dan MUDA itu diharap dapat membantu kerajaan negeri mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih baik.

“Khususnya dalam usaha menarik pelaburan ke Johor, yang akan memberi kesan positif kepada usaha memulihkan ekonomi Bangsa Johor dalam fasa endemik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, penetapan cuti hujung minggu kepada hari Sabtu dan Ahad, berbanding Jumaat dan Sabtu pada masa ini, juga diharap dapat menyelaraskan perbezaan cuti sektor awam dan swasta di Johor yang mempunyai waktu terhad untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Ini akan memberi nilai tambah kepada kehidupan warga Johor yang seimbang dan lebih baik, dan dapat memberi impak positif kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti pekerja,” katanya.

Semalam, Onn Hafiz dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu ketika ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat.

Beliau maklum mengenai keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza antara pihak kerajaan dan swasta.

Cuti minggu Jumaat dan Sabtu bagi Johor adalah berkuatkuasa dari 1 Januari 2014 susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here