KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) mengambil serius berhubung keresahan dan kebimbangan orang ramai mengenai isu penjualan data oleh sebuah laman web sumber terbuka (Open-source Intelligence) yang mula didedahkan di laman Twitter pada pagi 12 Jun lalu.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, semakan dan siasatan segera telah dilakukan oleh K-KOMM melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mengenai kandungan dan latar belakang laman web yang berkaitan, pada hari yang sama.
Beliau berkata, arahan sekatan terhadap laman web tersebut juga telah dikeluarkan kepada pembekal perkhidmatan Internet (ISP) bagi menghalang urusan jual beli data di laman web tersebut.
“Tindakan untuk menurunkan laman web tersebut telah dilakukan sekitar pukul 6.30 petang, hari yang sama.
“Pada waktu yang sama, siasatan lanjut yang lebih mendalam sedang dijalankan secara bersepadu oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), JPDP, CSM, SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, K-KOMM melalui JPDP dengan kerjasama SKMM dan CSM akan terus memantau dan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial agar sentiasa menepati prinsip-prinsip di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].
Katanya, keselamatan data peribadi milik kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri pula akan sentiasa dipastikan keselamatannya oleh agensi kerajaan yang berkaitan dan NACSA.
“Kerajaan persekutuan dan Kerajaan negeri juga dinasihatkan untuk mengaplikasikan tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709 sebagai garis panduan atau amalan terbaik supaya keselamatan data peribadi rakyat sentiasa terjaga.
“Di bawah Seksyen 130, Akta 709, kesalahan berhubung penjualan data peribadi, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurut Annuar, kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha membendung kes kebocoran, penyalahgunaan atau penjualan data peribadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – Malaysiapost

