PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan jemaah menteri memberi perhatian kepada pemulihan ekonomi negara.
Beliau berkata, ini kerana MPN akan dipersalahkan rakyat sedangkan ia hanya bertindak memberi nasihat dan cadangan kepada kerajaan.
“Seluruh kerajaan perlu bertindak mungkin hampir setiap minggu perlu bermesyuarat sehingga keadaan betul-betul pulih. Saya tidak nampak langkah sebegitu diberi perhatian, saya tidak cakap kerajaan tidak buat apa- apa, tetapi tidak cukup.
“Nanti orang cakap apa yang MPN buat, sedangkan MPN dibentuk bukan untuk ambil alih kuasa atau jadi kementerian tetapi sekadar memberikan nasihat dan cadangan munasabah dari masa ke semasa,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan, Perikatan Nasional (PN) akan mewujudkan projek galakan tanaman di seluruh bahagian dan cawangan bagi membekalkan sumber makanan kepada golongan rakyat yang berkemampuan.
“Hasil tanaman itu kita bekalkan kepada rakyat miskin, kalau bekal secara percuma lebih baik atau paling tidak kita jual pada harga murah sahaja asalkan pulang modal kerana kita bukan nak cari untung
“Saya sendiri akan Bachok Kelantan dalam masa terdekat ini bagi melihat projek tanaman sayur-sayuran yang dimulakan pimpinan bahagian Bersatu di sana,” katanya. -Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Muhyiddin Yassin

