Majlis dihadiri Mufti Perlis diganggu geng anak muda cetus provokasi

0
1

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kesal dengan tindakan sekumpulan anak muda yang membuat provokasi dalam sebuah majlis ramah mesra dan jamuan yang dihadirinya di Pengkalan Chepa, Kelantan, kelmarin.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku selepas majlis berkenaan selesai iaitu ketika beliau sedang bersembang dengan beberapa orang tokoh masyarakat yang masih ada dalam program berkenaan.

“Malangnya, setelah majlis dah selesai dan saya pun masuk ke dalam bersembang dengan beberapa orang tokoh masyarakat yang masih ada, ada gerombolan budak-budak muda yang sebahagian berpakaian ganjil, merokok dan menutup muka masuk ke kawasan persendirian tersebut.

“Saya diberitahu mereka membuat kacau. Katanya itu geng bomoh, ada kata geng tarekat, ada kata geng khurafat. Allah Maha Mengetahui,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Asri berkata, ramai yang menghubunginya terutama masyarakat Kelantan yang memohon maaf dan sedih dengan kejadian berkenaan.

“Ramai orang Kelantan mesej dan call saya mohon maaf dan dukacita atas kejadian itu. Mereka mengutuk perbuatan tersebut.

“Apapun terima kasih kepada majoriti rakyat yang penuh budi, makanan yang sedap dan ramai yang cantik,” katanya.

Menurut Asri, majlis ramah mesra yang turut dihadiri penceramah terkenal, Dr Rozaime Ramle itu mendapat sambutan yang sangat baik walaupun tiada majlis ucapan.

“Begitu ramai anak muda Kelantan yang datang. Semangat mereka luarbiasa. Ada yang sebak, gembira dapat jumpa, ada yang kata nak pindah Perlis dan kebanyakan bagitahu mereka memang akan hadir ke Perkampungan Sunnah pada 17, 18 dan 19 Jun ini.

“Pemimpin-pemimpin masyarakat Kelantan juga ramai yang hadir. Sehingga jamuan yang disediakan tidak mencukupi,” katanya.

Sejak malam kelmarin, tular di media sosial rakaman video sekumpulan anak muda yang menjerit-jerit membuat provokasi dalam sebuah majlis yang dihadiri Mohd Asri dan penceramah Rozaime di Kelantan.

Difahamkan, seorang tetamu yang hadir pada majlis tersebut memaklumkan, kira-kira 100 individu dalam kalangan anak muda datang membuat provokasi pada majlis berkenaan.

“Mereka menjerit-jerit tolak wahabi sambil melaungkan takbir, ada yang dilihat rokok di tangan sambil melaungkan takbir itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here