ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) dijemput menyertai Sambutan Ulang Tahun Ke-70 sempena Pemerintahan Ratu Britain, Ratu Elizabeth II yang berlangsung di kota London, United Kingdom (UK).
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi Facebook rasmi miliknya hari ini.
Katanya, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) telah berlepas ke United Kingdom (UK) bagi menyertai hari istimewa itu.
“Ya, yang putih, seragam dan sederap tu perajurit Angkatan Tentera Malaysia kebanggaan kita!
“Dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD). Terbang jauh ke United Kingdom demi kibarkan Jalur Gemilang.
“Kerana prestij dan penghormatan, ATM dijemput sertai Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Sempena Pemerintahan Her Majesty The Queen selaku Pemerintah Tertinggi United Kingdom,” tulisnya.
Hishammuddin juga turut berkongsikan detik istimewa itu menerusi video, yang memaparkan seorang pegawai dan 10 anggota ATM berpakaian seragam putih, berkawad dengan penuh megah dan tatatertib, sambil mengibarkan jalur gemilang ketika perbarisan berlangsung.
Britain meraikan sambutan ulang tahun ke-70 pemerintahan Ratu Elizabeth II sekali gus menjadi raja paling lama berada di atas takhta pemerintahan UK.
Ratu Elizabeth II, 96, semalam menutup tirai sambutan Jubli Platinum bersejarah dengan membuat satu lagi penampilan umum pada hari keempat yang juga hari terakhir perayaan dan berikrar mengekalkan pemerintahannya yang memecahkan rekod. – Malaysiapost

