DUA belas lelaki berusia 23 hingga 59 tahun ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur kerana dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol.
Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur Superintendan Zulkafli Chek Lah, berkata individu berkenaan adalah antara 22 pesalah trafik yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan, Op Parkir Haram, Op Mabuk dan Op Motosikal/Pelbagai yang dijalankan bermula Jumaat lalu sehingga awal pagi hari ini.
Menurutnya, operasi dijalankan disekitar kawasan pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching dan Lebuhraya DUKE yang membabitkan 17 pegawai dan 128 anggota JSPT Kuala Lumpur.
Beliau berkata, 12 lelaki yang ditahan kerana dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan dan disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955.
“Tangkapan terhadap sembilan lelaki juga dilakukan selepas dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi ‘zig-zag, ‘roket’, ‘superman’ serta bersaing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua sembilan tangkapan yang berusia lingkungan 14 hingga 21 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya sehingga menggangu pengguna jalan raya yang lain.
Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 463 jumlah Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 26 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan ubah suai ekzos.
“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT), Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost



