BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan melaksanakan Undang-undang Anti Lompat Parti sebelum sebarang cadangan mengenai reformasi menghalang Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah menghadiri persidangan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, situasi ketika ini memberi gambaran seolah-olah kerajaan suka kepada perbuatan melompat parti kerana boleh mendapat kedudukan.
“Lompat-lompat pun tak ada apa pun lagi (tiada sebarang tindakan terhadap perbuatan lompat parti). Kerajaan ini (mungkin) suka kalau orang lompat, sebab mereka akan dapat cukup bilang (bilangan Ahli Parlimen).
“Kalau ada orang lompat baru boleh (jadi Perdana Menteri), macam Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kalau orang tak lompat dia tak boleh jadi PM,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Dr Mahathir berkata, dalam Parlimen ketika ini bukan setakat yang mempunyai kes mahkamah sahaja, malah mereka yang sudah dijatuhkan hukuman turut boleh menyertai persidangan.
“Bukan sahaja ada kes (mahkamah), yang dah jatuh hukum pun boleh mengajar kerajaan macam mana nak perintah negara.
“Di dalam dunia, inilah satu negara yang mana ‘penyangak’ yang didapati bersalah boleh datang persidangan dan ajar kerajaan macam mana nak memerintah, (mungkin dikatakan) mereka berpengalaman, pengalaman curi duit, salah guna kuasa dan rasuah, itulah pengalaman mereka,” katanya.
Semalam, Kabinet bersetuju dengan cadangan melaksana reformasi Parlimen termasuk meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sama ada melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, bagaimanapun ia masih diperhalusi untuk disesuaikan dengan perkembangan dan peraturan sedia ada Dewan Rakyat. – Malaysiapost

