‘Anak Zahid rosakkan usaha perkasa wanita’ – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata Nurulhidayah Ahmad Zahid telah merosakkan usaha pemerkasakan wanita apabila mendakwa golongan itu tidak dilahirkan sebagai pemimpin.

Beliau memaklumkan, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kerajaan telah melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di negara ini.

“Nurulhidayah telah merosakkan usaha pemerkasaan wanita apabila dia mengatakan wanita tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin.

“Kita pernah ada seorang timbalan perdana menteri wanita dan sepatutnya tidaklah terlalu sukar untuk mendapatkan seorang perdana menteri wanita di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang juga menyatakan beberapa negara yang mempunyai presiden atau perdana menteri wanita termasuk Indonesia, Filipina, Korea Selatan, India, Taiwan, Thailand, Australia, Norway, Kanada, Sweden, Finland dan Denmark.

“Nurulhidayah harus ingat bahawa kita berada dalam era baru pemerkasaan wanita dengan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, kedua-duanya wanita, dan tujuh hakim wanita daripada 12 hakim di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Nurulhidayah yang juga anak kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin.

Beliau membuat kenyataan itu dalam sebuah temubual, menyentuh  pendiriannya berkaitan hak wanita dan perwakilan wanita dalam politik.

 “Hak wanita dalam politik? Wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin tau. Jadi, ya, wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin.

“Lelaki yang dilahirkan sebagai pemimpin. Jadi untuk hak asasi manusia, hak asasi wanita, saya rasa semua patut ada hak. Kerana kita semua manusia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here