Pemandu diserang sawan punca 10 kereta terbabit kemalangan

0
1

KIRA-KIRA 10 kenderaan dilapor terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Melaka, malam tadim gara-gara seorang pemandu kereta jenis BMW diserang sawan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar, berkata ketika kejadian pemandu kereta mewah berusia 38 tahun berkenaan sedang berhenti di lampu isyarat di simpang empat Taman Chiptaco di jalan berkenaan, kira-kira jam 9.14 malam.

Beliau berkata, pemandu berkenaan kemudian tiba-tiba diserang sawan lalu tertekan pedal minyak dan melanggar beberapa kenderaan di hadapannya hingga mengakibatkan sembilan kenderaan lain turut terbabit dalam kemalangan.

“Ketika itu, semua mangsa menunggu di simpang empat lampu berkenaan berhadapan sebuah pasar raya.

“Insiden itu menyebabkan kereta dipandu lelaki terbabit bergerak laju dan merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di hadapannya.

“Bagaimanapun, dia sekali lagi diserang sawan menyebabkan berlaku rempuhan kedua. Kemalangan ini turut menyebabkan pemandu BMW terbabit mengalami luka-luka,” katanya.

Sembilan kenderaan lain terbabit ialah dua buah Perodua Myvi, Honda Jazz, Perodua Kenari, Perodua Viva, Perodua Alza, Toyota Corolla Altis, Nissan Frontier dan Proton Persona.

Beliau berkata, seramai enam mangsa termasuk pemandu dan penumpang berusia antara 20 hingga 73 tahun cedera ringan manakala pemandu sebuah kereta jenis Perodua Kenari, wanita berusia 20 tahun mengalami patah hidung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here