KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) kini dalam perbincangan dengan Delta Aerospace Sdn Bhd mengenai perkembangan pesawat laut pertama yang akan dikilangkan sepenuhnya di Malaysia.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, syarikat tersebut kini dalam proses memohon pensijilan teknikal yang diperlukan.
Katanya, Jika semuanya lancar, mereka akan layak memohon kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) di Amerika Syarikat (AS) melalui Perjanjian Keselamatan Penerbangan Dua Hala (BASA) disediakan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan FAA sejak 1998.
“Saya menegaskan bahawa pesawat laut mesti memenuhi semua keperluan kawal selia CAAM, terutamanya untuk mematuhi peraturan mengenai pesawat laut.
“Saya difahamkan, pesawat amfibia yang digelar LA-8 ini menarik minat beberapa pihak untuk mendapatkan hak pengedaran di benua Amerika.
“Model pesawat laut ini boleh digunakan untuk operasi menyelamat, rondaan maritim, pelancongan dan juga untuk tujuan aplikasi ketenteraan,” kongsinya di Facebook.
Ka Siong seterusnya berharap Delta Aerospace dan pemain industri lain yang berkaitan dapat mengembangkan ekosistem pesawat laut di Malaysia.
Ini kerana katanya, MOT dan CAAM sedang meneliti cadangan pembinaan pelabuhan kapal terbang laut pertama di Pengerang, Johor oleh sebuah syarikat swasta.
“Kami juga menggalakkan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri penerbangan di Malaysia.
“Dengan langkah yang betul, Malaysia boleh turut mengambil bahagian dalam pasaran ini sekali gus dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan,” katanya. – Malaysiapost

