MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bakal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri Kabinet.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, pertemuan tersebut kemungkinan berlangsung minggu depan dan sidang media khas juga akan diadakan selepas itu.
“Saya akan berjumpa Perdana Menteri dan masih menunggu tarikhnya. Insya-Allah dalam masa terdekat, (pertemuan) akan membincangkan kedudukan saya dalam Kabinet,” katanya dipetik The Star semalam.
Beliau ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari lawatan kerja di Turki dan Greece.
Zuraida juga mengesahkan permohonan keahliannya untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah dikemukakan untuk diproses.
Ditanya tuntutan Bersatu terhadap jawatan menteri yang disandangnya ketika ini, Zuraida berkata keputusan itu terletak di tangan Ismail Sabri.
“Saya tidak ada komen (mengenai jawatan menteri). Kita tunggu Perdana Menteri buat keputusan,” katanya.
Zuraida mengumumkan keluar dan meletak jawatan daripada Bersatu untuk menyertai PBM pada 26 Mei lalu. – Malaysiapost

