POLIS melepaskan enam das tembakan ke arah tayar sebuah kereta jenis Volvo dinaiki tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam di Ayer Tawar, Manjung, semalam.
Dalam kejadian pada 4 petang itu, seorang lelaki berusia 61 tahun dipercayai pengedar dadah yang memandu kereta bersama isteri dan seorang anak lelakinya cuba melarikan diri, namun dikejar polis sejauh kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kenderaan dipandu suspek kemudian berjaya dihentikan dan pemeriksaan polis menemui 33 paket dipercayai mengandungi syabu seberat 62.5 gram dalam kereta berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika anggota polis dari Balai Ayer Tawar sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum mengesan kereta dinaiki suspek yang dalam keadaan mencurigakan.
“Pihak polis kemudian bertindak menahan kenderaan terbabit namun suspek cuba merempuh polis dan melanggar kenderaan polis yang menghalang kenderaan suspek.
“Dalam pergelutan itu polis terpaksa bertindak melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi tujuan menghentikan kenderaan itu daripada melepaskan diri dan tiga das mengenai bahagian tayar.
“Namun suspek sempat melarikan diri ke kawasan taman berdekatan dengan lokasi kejadian. Walaubagaimanapun suspek berjaya ditahan sejurus kemudian dan tiada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang proses tangkapan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan digunakan suspek dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai 12 kesalahan Jenayah lampau.
“Turut ditahan bersama suspek adalah isterinya berusia 38 tahun dan anak lelakinya berusia dua tahun yang berada dalam kenderaan ketika kejadian berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

