Media berperanan besar pengaruhi pemikiran rakyat

0
2

KUALA LUMPUR, 1 Mac -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media bersama para Pimpinan PAS Pusat berikutan perkembangan isu politik semasa di Malaysia hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tan Sri Abdul Hadi Awang

MEDIA berperanan besar dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat, sama ada bagi menegakkan kebenaran atau menyebarkan pembohongan, kebatilan dan kesesatan.

Termasuklah juga menganjurkan aktiviti kebajikan atau maksiat, sehingga membela penjenayah.

Hal ini menjadikan mereka yang terlibat dengan perbuatan yang salah itu dalam dilema, sama ada untuk memilih ganjaran pahala yang besar atau balasan dosa yang besar.

Malah, mereka juga dilema dalam menerima upah yang lumayan, sama ada ia menjadi harta halal yang membawa berkat atau harta haram yang menjadi laknat, bagi diri dan keluarganya.

Dilema merupakan suatu keadaan yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk memilih antara dua al¬ternatif.

Pertama, menepuk dada tanya selera masing-masing bagi mendapat keuntungan sementara, waktu dalam kehidupan dunia hanyalah sebentar sahaja jika dibandingkan dalam kuburnya lebih panjang masanya dan hidup di alam akhirat buat selama-lamanya. Andai tersilap langkah, maka menempah kecelakaan di dunia dan menghuni neraka di akhirat.

Kedua, menepuk dada tanya iman masing-masing, untuk memilih kebahagiaan dunia dan akhirat serta menanti janji benar daripada Allah SWT. Hidupnya beroleh keberkatan kerana mendapat rahmat Allah SWT, matinya pula selamat sehingga menemui Hari Kiamat.

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman supaya berhati-hati dalam menerima maklumat yang disampaikan kepada mereka.

Allah SWT menjenamakan kalangan mereka yang menyebarkan berita yang menyesatkan atau sebarang berita palsu mahupun bohong sebagai golongan fasiq.

Termasuklah juga mereka yang menularkan berita benar, namun membawa kepada fitnah yang zalim terhadap seseorang yang belum ditentukan bersalah oleh pihak yang menjatuhkan hukuman.

Hal ini demikian kerana, Islam meletakkan seseorang yang dituduh itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bahawa dirinya benar-benar bersalah (innocent until proven guilty).

Bahkan, digalakkan memberikan nasihat dan dianjurkan bertaubat kepada golongan tersebut tanpa didedahkan kesalahannya kepada khalayak umum kerana sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

Islam menetapkan hukuman dunia adalah berdasarkan tindakan undang-undang yang adil ataupun hukuman akhirat yang lebih berat sekiranya seseorang itu tidak bertaubat. Jika mereka dihukum di alam dunia dengan hukuman yang adil, maka kelak mereka akan dibebaskan pada Hari Akhirat.

Sebaliknya, seandainya tidak dihukum di dunia, nescaya dirinya tidak akan terlepas balasannya pada Hari Akhirat jika tidak bertaubat.

Allah SWT menggalakkan seseorang itu agar bertaubat dengan tidak menyebarkan dosa yang dilakukan oleh pelakunya.

Bahkan, adalah berdosa besar sesiapa yang menyebarkan kesalahan orang lain dengan tujuan menyebarkan berita keaiban, bukan bertujuan mencegah kemungkaran dan membantu badan kehakiman menjadi saksi yang adil.

Rasulullah SAW menggalakkan supaya kesalahan seseorang itu ditutup kepada umum. Adapun dirinya pula wajib berlaku benar dan berterus terang apabila dibawa ke dalam mahkamah.

Hal ini menunjukkan seseorang yang menjadi saksi yang bohong adalah berdosa besar. Dalam pada itu, mereka yang menyebarkan berita kesalahan juga berdosa besar kerana ia bertujuan menimbulkan provokasi bukan untuk mencegah kemungkaran.

Termasuk dalam perkara dosa juga ialah perbuatan menyebarkan kemungkaran maksiat yang dilakukan dengan tujuan menggalakkannya, bukannya untuk mencegah. Perkara tersebut sama ada tersebar secara berita mahupun melalui iklan.

Tindakan menyiarkan berita provokasi akan mengganggu pihak keselamatan dan keamanan atau badan kehakiman yang bertindak sebagai penyiasat.

Keadaan sedemikian adalah semata-mata bagi membela kejahatan dan jenayah atas nama undang-undang berprinsipkan kebebasan yang salah dan bersikap melampaui batas kerana terpengaruh dengan kebebasan media Barat yang liberal.

Adapun, apabila sesuatu kesalahan itu dilaporkan kepada pihak yang berkenaan bagi mencegah kemungkaran atau dengan tujuan menjadi saksi yang adil, maka wajib baginya menyatakan yang perkara benar-benar berlaku terhadap sesiapa sahaja.

Islam menetapkan hukuman hudud terhadap sesiapa yang menuduh seseorang itu melakukan perbuatan zina tanpa cukup empat saksi. Sehinggakan, dijatuhkan hukuman 80 kali sebatan terhadap penyebar tuduhan tersebut

Oleh itu, tidak diizinkan mana-mana pihak sekadar melaporkan berita kepada umum, bukan dengan tujuan melaporkan kepada pihak berkenaan bagi mencegah kemungkaran dan diadili mengikut proses perundangan yang teliti. Islam menetapkan dosa fitnah terhadap penyebar sesuatu berita, sekalipun berita yang disebarkan itu benar kerana tidak dapat mengemukakan saksi kepada badan kehakiman.

Justeru, wajibnya ada undang-undang yang mengawal media supaya bersopan, bukan bebas tanpa sempadan. Islam berbeza dalam mentakrifkan erti kebebasan mengikut sempadan agama dan akhlak.

Maka, melampaui batas agama dan akhlak ertinya terbabas yang membawa kepada kemusnahan berbagai-bagai pihak, sehingga menjadi penyakit diri dan masyarakat yang tidak terkawal lagi. Perkara inilah yang berlaku terhadap kaum yang ditimpakan bencana pada zaman dahulu dan kini dialami oleh penganut liberalisme sebelum ditimpa bala bencana sebagai hukuman daripada Allah SWT.

Penulis merupakan Presiden PAS.

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here