KPM, SPP digesa adakan dialog dengan calon COS 2021 yang gagal

0
1

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memberi jawapan yang telus dan jelas berhubung isu dibangkitkan kumpulan guru kontrak perkhidmatan (COS).

Menurutnya, terdapat calon-calon guru COS 2021 yang mengadu berlaku ketirisan dan ketidaktelusan dalam proses temuduga Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP DG41) yang keputusannya telah diumumkan pada 28 Mei lalu.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, perkara berkenaan turut dibangkitkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa sesi dialog diadakan segera bersama dengan calon-calon terbabit untuk menjawab banyak masalah dan aduan yang timbul.

“Beberapa hari lepas, sekumpulan guru telah menyatakan gesaan kepada Kementerian Pendidikan untuk segera selesaikan isu pengambilan guru COS 2021.

“Mereka dijanjikan kementerian akan bersikap telus dalam pengambilan khas guru secara ‘one-off’ seperti diumumkan Jun tahun lalu. Tetapi banyak berita yang mendukacitakan timbul.

“Dah lah menunggu berbulan-bulan lamanya, banyak aduan ketidaktelusan dalam proses temu duga dan pengumuman keputusan timbul,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, antara isu yang dibangitkan adalah mengenai jumlah lebih 90 peratus calon COS yang dikatakan gagal pada ambilan kali ini.

“Adakah benar bahawa kuota asal 5,000 telah dikurangkan kepada 2,400? Jika ya, apa sebab kuota dikurangkan?

“Adakah benar bahawa jumlah yang lulus bagi setiap opsyen sangat sedikit sampai ada opsyen yang langsung tiada seorang pun lulus temuduga, contohnya bagi opsyen Bahasa Melayu?” soalnya.

Syed Saddiq berkata, KPM harus berikan jawapan yang telus dan jelas dalam isu ini secepat mungkin agar isu guru COS ini dapat diselesaikan.

“Guru-guru ini telah bertungkus lumus mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab. Tetapi kenapa mereka diperlakukan sebegini? Guru adalah penting dalam meningkatkan generasi baru pemimpin dan pembuat perubahan.

“Kita harus melakukan yang lebih baik untuk memastikan mereka menikmati keselamatan dalam pekerjaan mereka dan tidak meninggalkan profesion mereka.

“KPM dan SPP perlu menjawab dakwaan ini dan menjelaskan sebab mengapa ramai yang tidak terpilih dan jika mereka mempunyai rancangan untuk membantu guru-guru ini kekal dalam profesion selepas tamat kontrak mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here