“AYUH kita cipta sejarah, biar selepas ini semua orang bercakap mengenai pasukan ini,” kata Arul Selvaraj kepada pasukan hoi lelaki kebangsaan.
Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, melontarkan cabaran kepada barisan pemainnya untuk mencipta sejarah merangkul trofi Piala Asia buat kali pertama di Jakarta, Indonesia, malam ini.
Arul turut memberikan kata-kata semangat kepada skuad Speedy Tigers yang berjaya membenam pasukan Jepun 5-0 untuk ke perlawanan akhir berdepan Korea Selatan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno jam 7.30 malam ini waktu Malaysia.
“Untuk saya, pasukan mana yang mempunyai keinginan tinggi akan menang. Jadi sejauh mana anda inginkannya? Kadangkala apabila sudah berada di tahap ini, kemahiran sudah tidak penting kerana apa yang paling penting adalah usaha untuk memenangi perlawanan.
“Hanya tinggal satu lagi perlawanan, saya mahu anda semua berikan segala-gala untuknya (perlawanan akhir). Ayuh lakukannya. Ayuh kita cipta sejarah, biar selepas ini semua orang bercakap mengenai pasukan ini.
“Mari kita pasukan hoki Malaysia letakkan satu standard untuk semua sukan di Malaysia. Apabila orang bercakap mengenai pasukan hoki, mereka bercakap mengenai sikap, kesungguhan, kepercayaan dan mentaliti kemenangan yang ada dalam pasukan ini,” katanya dalam rakaman video yang dikongsikan di Facebook rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Kemenangan 5-0 ke atas Jepun dalam aksi terakhir saingan Super 4 Piala Asia 2022, semalam membolehkan Malaysia beraksi di pentas final selaku juara manakala Korea yang seri dengan India 4-4 muncul naib juara berdasarkan perbezaan jaringan.
Malaysia terdahulu sudah mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia 2023, yang dijadual berlangsung di India pada 13 hingga 29 Januari tahun depan.
Kelayakan itu susulan pasukan India, yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kejohanan berprestij itu atas kapasiti tuan rumah serta layak ke kelompok Super 4 Piala Asia 2022 di Jakarta. – Malaysiapost

